08 February, 2010

puteri kesayangan


TANGGUNGJAWAB BERSAMA MENDIDIK ANAK

Sesungguhnya, keberhasilan dalam memilih pasangan yang soleh/solehah dan keberhasilan dalam pernikahan sesuai dengan Islam akan banyak menolong dalam usaha-usaha mendidik anak dengan tarbiyah Islamiyah yang diharapkan. Kegagalan dalam membina rumah tangga menurut cara yang Islami dan kesalahan memilih pasangan hidup boleh menyebabkan keruntuhan dan berlakunya keburukan yang menguasai keluarga secara keseluruhan. Pertengkaran yang terjadi dalam kehidupan suami isteri secara langsung mempengaruhi pendidikan dan kejiwaan anak. Kerana itu, tanggungjawab kita yang pertama dalam pendidikan anak-anak kita adalah membangunkan pernikahan yang Islami (seperti yang ditunjukkan oleh Islam).

Pada hakikatnya hasil yang diharapkan dari terbinanya sebuah rumah
tangga Islam adalah terwujudnya satu generasi yang soleh, sebagaimana
dinyatakan dalam firman Allah yg bermaksud: "Dan orang-orang yang
berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami
dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami) dan jadikanlah kami
imam bagi orang-orang yang bertakwa." (QS 25:74)

Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tak berdosa). Bila anak
kita mendapatkan tarbiyah yang baik dia akan menjadi anak yang soleh.
Namun bila anak dibesarkan di tengah-tengah ibu bapa yang sering
bertengkar atau ibu bapa yang keluar dari landasan Islam, anak itu akan
demikian juga. Rasulullah SAW telah bersabda: "Anak-anak itu lahir
dalam keadaan fitrah (bersih), adalah ibu bapaknya yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani, atau Majusi." (HR Bukhari dan Muslim).

Oleh kerana itu, Islam sangat menekankan (dengan sangat serius) tentang
pendidikan atau tarbiyah anak sehingga anak-anak kita memperolehi
pendidikan yg baik. Islam mengharapkan agar segala norma dan suasana
diciptakan untuk melaksanakan tarbiyah yang baik itu. Rasulullah s.a.w.
telah bersabda: "Mendidik anak itu lebih baik daripada bersedekah
secupak." (HR Thirmidzi).

Dalam sabda-sabda baginda yang lain: "Tiada pemberian seorang bapak
terhadap anak-anaknya yang lebih baik daripada (pendidikan) yang baik dan adab yang mulia." (HR At-Tirmidzi)

"Berlaku baiklah terhadap anak-anakmu dan ajarkanlah mereka adab yang
baik" (HR Ibn Majah)

"Bila seorang meninggal, terputuslah semua amalannya kecuali tiga
perkara: amal jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak yang soleh yang berdoa untuknya." (HR Muslim)

[Ustaz Fathi Misran]

No comments:

Post a Comment